Sunday 24 June 2012

Bahaya Kurang Minum Air Semasa Berpantang

Selalu dengar orang cakap dalam pantang tak boleh minum air banyak, sehari 2 gelas air je. Bila tanya 'kenapa?' Jawapannya, 'ntah la orang tua-tua yg cakap cam tu, takut kembang'. Selepas kite kehilangan banyak darah ketika proses bersalin, semestinya tubuh memerlukan air yg mencukupi untuk membantu mengangkut nutrien ke seluruh tubuh agar kite kembali segar dan bertenaga semula. Sebenarnya ada petua orang2 lama yg membantu memulihkan kesihatan ibu selepas bersalin dengan cepat namun ada antaranya tidak relevan dan tak boleh diguna pakai kerana ianya boleh memudaratkan kesihatan ibu itu sendiri.


Tahukah anda air adalah unsur penting dalam badan kita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan. Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun dalam pantang kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh, penyusuan dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.


Air yang keluar ini perlu diganti segera, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air semasa berpantang boleh menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut. 


Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Sofiah Sulaiman, ibu berpantang seharusnya lebih banyak minum air, jaga kebersihan, lebih kerap menukar tuala wanita atau melakukan rawatan segera pada jahitan yang terbuka pada tempat peranakan untuk mengelak jangkitan kuman. Penjagaan lebih rapi di bahagian peranakan amat penting, termasuk untuk mengelak jahitan terbuka dan jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan kuman mudah berjangkit. Menurut beliau lagi, jika kurang minum air, boleh menyebabkan kawasan pundi kencing menjadi kering hingga menyebabkan ia mudah dijangkiti penyakit. 


Pakar kesihatan menyarankan kita minum air sekurang-kurangnya 8-12 gelas sehari secara umumnya. Namun keperluan ini berbeza mengikut berat badan dan gaya hidup seseorang. Sumber air bukan hanya daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran. 


Jika anda bercita-cita untuk mengurangkan berat badan semasa berpantang juga digalakkan minum banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah lemak dan tidak dapat menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.


Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang , jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik dalam badan hingga membahayakan nyawa.


Kajian menunjukkan kehilangan air dalam badan boleh menyebabkan :

  • Sembelit. Sebab tu ramai yg mengalami sembelit selepas bersalin.
  • Tekanan darah rendah.
  • Sakit kepala dan pening.
  • Air kencing sedikit dan pekat (kencing kotor).
  • Cepat letih dan lemah longlai.
  • Pucat, bibir dan mulut kering.
  • Selalu mengantuk dan kurang cergas di siang hari.
  • Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk.
  • Meningkatkan keinginan untuk makan.
  • Degupan jantung meningkat.
  • Sakit otot dan sakit belakang.


Dr Sofiah berkata, ada juga wanita yang disebabkan terlalu taksub untuk menjaga bentuk badan selepas bersalin tidak mengamalkan diet pemakanan yang betul dan kurang minum air menyebabkan mereka lebih berisiko dijangkiti kuman. 


“Wanita perlu makan makanan berkhasiat untuk mempercepatkan proses pemulihan, minum air banyak, lebih kerap menukar tuala wanita dan paling penting segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan” katanya. 


Jadi, isu tidak boleh minum air banyak semasa berpantang tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sahaja punca mengapa terjadinya susu ibu sikit, malah boleh membawa maut.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2021 Mommy Miasara. All Rights Reserved. Designed by Blog Cik Nurfarah.