Showing posts with label Susu Ibu vs FM. Show all posts
Showing posts with label Susu Ibu vs FM. Show all posts

Friday, 13 April 2012

.: Risiko Yang Mungkin Dihadapi oleh Bayi Yang Tidak Diberi Susu Ibu :.

Berikut adalah senarai risiko penyakit/masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi yang tidak diberi susu ibu hasil kajian pakar:


1. Perkembangan kognitif dan kecerdasan.


  • Perkembangan otak bayi belum sempurna sebaik dilahirkan, malah pembentukan dan perhubungan sel-sel saraf berkembang pesat dalam 3 tahun pertama hayatnya. Apabila proses ini selesai, sel otak boleh mati namun tidak akan berganti. Susu ibu yang memang khusus untuk bayi manusia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak bayi untuk mencapai potensi maksimum. Sebaliknya susu formula tidak mengandungi semua nutrien tersebut (malah kita tidak mengetahui dengan tepat apakah kandungan sebenarnya!)
  • Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberi susu ibu ketika bayi menunjukkan skor yang tinggi dalam ujian kepintaran.
  • Para pengkaji juga mendapati kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka waktu lama menunjukkan skor kepintaran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka masa singkat.


2. Diabetes.

  • Diabetes jenis I (yang diwarisi secara genetik) biasa dikesan di kalangan kanak-kanak . Kajian ke atas kanak-kanak yang tidak diberi susu formula (sekurang-kurangnya sehingga umurnya 1 tahun) mendapati bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk menghidap diabetes.


3. SIDS (Sudden Infant Death Syndrome).


  • SIDS ialah situasi kematian mengejut bayi, biasanya ketika tidur. Tidak diketahui penyebab terjadinya kematian begini. Namun begitu kajian menunjukkan bayi yang diberi susu formula lebih tinggi risiko terjadinya SIDS.


4. Masalah pernafasan.


  • Peningkatan penyakit asma di kalangan kanak-kanak amat ketara pada masa sekarang. Tidak dinafikan faktor persekitaran menyumbang kepada peningkatan tersebut termasuk pendedahan kepada pencemaran udara dan pertambahan bilangan kanak-kanak di nurseri, tadika serta pusat jagaan mendorong pendedahan kepada virus pada usia muda.
  • Kajian menunjukkan pemberian susu formula kepada bayi meningkatkan risiko kepada asma dan juga masalah pernafasan lain seperti respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak ini juga lambat sembuh berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu.


5. Jangkitan telinga.


  • Jangkitan telinga agak biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Kajian mendapati risiko terjadinya otitis media (jangkitan telinga) lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula.
  • Jangkitan telinga sangat sakit bagi bayi/kanak-kanak dan  boleh menyebabkan komplikasi lain – pengumpulan cecair di dalam telinga dalam jangka masa yang lama akibat jangkitan itu boleh menyebabkan masalah pendengaran dan perkembangan pertuturan pada kanak-kanak tersebut.


6. Kanser.


  • Kajian mendapati kanak-kanak kecil yang minum susu formula mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser pada usia mudanya.


7. Jangkitan saluran pencernaan.


  • Tidak dapat dinafikan masalah sistem pencernaan berkait rapat dengan apa yang dimakan. Pemberian susu formula meningkatkan risiko terhadap cirit birit dan lebih buruk lagi mengalami fasa penyembuhan yang perlahan. Ini adalah kerana apabila bayi mengalami cirit birit dan muntah-muntah, doktor selalu menasihatkan supaya mengurangkan pemberian susu formula dan banyakkan minum air (untuk mengelakkan kekontangan). Kurang menyusu bermakna kurang nutrien diperoleh bayi. Sebaliknya bayi yang minum susu ibu masih boleh terus menyusu. Oleh itu bayi akan mendapat nutrien yang cukup dan juga antibodi yang akan membantunya membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran pencernaannya.
  • Bayi yang minum susu ibu juga jarang-jarang mengalami sembelit sebaliknya bayi yang minum susu formula sering mengalami masalah pembuangan air besar.


8. Keberkesanan vaksin.


  • Pemberian susu formula mengurangkan keberkesanan pemvaksinan dengan mengurangkan respon bayi terhadap penghasilan antibodi di dalam badan.
  • Sebaliknya bayi yang minum susu ibu memberi respon yang baik kepada pemvaksinan dan menghasilkan lebih banyak antibodi di dalam badannya.

(Catatan peribadi: pemvaksinan ialah kaedah imunisasi dengan cara menyuntik vaksin ke dalam badan. Suntikan vaksin akan merangsang sel darah putih menghasilkan antibodi untuk melindungi badan daripada jangkitan penyakit.)




9. Perkembangan rahang dan otot muka.


  • Adakah anda menyedari bahawa teknik hisapan bayi yang minum melalui botol (susu formula) berbeza dengan bayi yang minum susu ibu daripada payudara ibunya? Sesetengah orang mengakui bahawa bayi yang minum susu ibu dapat dikenal melalui pipinya yang cantik membulat!
  • Perkembangan rahang, otot muka dan pipi ini akan ketara kepentingannya apabila bayi ini membesar menjadi kanak-kanak nanti kerana bayi yang minum susu ibu apabila besar kelak kurang memerlukan rawatan pergigian berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.
  • Penyusuan ibu menjadikan pembentukan rahang dan otot muka terbentuk dengan baik dan seterusnya menghasilkan rahang yang cantik dan gigi yang tersusun rapi.

10. Obesiti


  • Bayi yang minum susu formula juga terdedah kepada masalah obesiti (kegemukan) pada usia muda (kanak-kanak dan remaja).


Kesimpulan: banyak lagi masalah kesihatan lain yang boleh berlaku apabila bayi tidak diberi susu ibu dan diganti dengan permberian susu formula. Ini termasuk eczema, masalah jantung, alergi, kolik, meningitis dan sebagainya.


** Sumber Dipetik Dari Breastfeeding Friendly Zone

Monday, 27 February 2012

Susu Ibu atau Susu Formula

Asli atau tiruan? Lazimnya kebanyakan orang tanpa ragu-ragu akan memilih yang asli. Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang merelakan susu formula iaitu barang tiruan menjadi makanan pertama anak mereka.
Mengapa susu formula atau susu tiruan ini dikecualikan sedangkan masyarakat sedar walau sebaik manapun sesuatu barang tiruan, ia tidak akan sebaik yang asli?
Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu menggalakkan semua ibu menyusukan anaknya dengan susu ibu sahaja selama enam bulan atau dikenali sebagai penyusuan eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun. Makanan tambahan pula hanya dimulakan semasa anak berumur enam bulan.
Kebanyakan ibu hanya mampu menyusukan anak mereka sehingga dua bulan atau sepanjang tempoh berpantang dan apabila mereka kembali bekerja, ramai yang mengambil jalan mudah dengan memberikan susu formula.
KEBAIKAN SUSU IBU
Menurut Penolong Pengarah Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Siti Mariam Ali, susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi.
Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi dari penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran.
“Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi tersebut. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan,” katanya kepada Bernama.
Katanya susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum yang berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan.
Antaranya ialah mengeluarkan mekonium (najis bayi di awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi dari jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus sekaligus mencegah alahan dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus.
“Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan tersebut boleh merosakkan ususnya dan menyebabkan alahan,” katanya.
Selain itu susu ibu juga melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis, dan cirit-birit.
Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari.
Selain itu susu ibu turut mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

KEKURANGAN SUSU FORMULA
Antara kekurangan ketara susu formula ialah khasiatnya tidak akan sama dengan khasiat susu ibu walaupun pelbagai zat tambahan dimasukkan seperti Omega3, Docosahexanoic (DHA), Arachidonic acid (AA), dan vitamin B12.
“Masih tidak ada kajian yang boleh menentukan kadar sebenar sesuatu zat yang diperlukan oleh bayi. Berbeza dengan susu ibu, kandungan zatnya akan berubah mengikut keperluan,” katanya.
Zat-zat tambahan dalam susu formula juga membawa kesan sampingan lain seperti protein, walaupun ia telah diubah tetapi masih sukar dihadam manakala zat besi pula sukar untuk diserap, katanya.
Bayi yang diberikan susu formula juga terdedah kepada pencemaran bakteria apabila air bancuhan, peralatan botol dan puting tidak dibersihkan dengan sempurna.
Bakteria membiak dengan cepat terutamanya jika susu dibiarkan dalam cuaca panas. Walaupun belum berbau masam atau basi, ia masih boleh membahayakan bayi,” katanya.
Bayi juga tidak mendapat perlindungan daripada pelbagai penyakit kerana susu formula tidak mengandungi antibodi menyebabkan bayi yang diberi susu formula lebih kerap mendapat jangkitan penyakit seperti cirit-birit, demam, selesema, batuk dan alahan walaupun susunya dibuat secara bersih.
Terdapat juga risiko kekurangan zat makanan jika susu dibancuh terlalu cair ataupun jika dibancuh terlalu pekat, ia boleh mengakibatkan sembelit atau kerosakan pada organ tertentu.
“Sebab itu kita melihat ramai bayi yang mengalami kegemukan, mereka mendapat lebih zat daripada sepatutnya,” kata Siti Mariam.
Berbeza dengan susu ibu, susu formula juga tidak mengandungi enzim. Ini melambatkan penghadaman dan menyukarkan tenaga dibekalkan kepada bayi.

BAHAYA AIR
Selain susu formula, kebanyakan ibu bapa juga cenderung untuk memberikan air kepada bayi mereka dengan alasan mengelakkan bayi daripada haus, badan panas, sembelit atau untuk mencuci mulut bayi.
Siti Mariam berkata alasan-alasan tersebut adalah tidak berasas kerana susu ibu mengandungi 88 peratus air dan bayi yang hanya diberikan susu ibu dijamin akan mendapat cukup air.
Amalan memberikan air kepada bayi sebenarnya boleh mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko termasuk merencatkan tumbesaran dan akal, mengancam nyawa serta mengakibatkan sawan tarik.
“Perut bayi yang baru lahir hanya memerlukan empat sudu kecil kolosterum (2ml) dan jumlah ini akan meningkat kepada 40 sudu (200ml) hanya setelah bayi menjangkau umur setahun,” katanya.
Oleh itu tumbesaran bayi yang diberikan air akan terencat kerana perutnya yang kecil itu sepatutnya diisi dengan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat untuk membantu tumbesarannya.
Air juga boleh menjadi pembawa kuman kerana pencemaran boleh berlaku di pelbagai peringkat sama ada sumber air atau bekas yang tidak bersih. Ini akan mendedahkan bayi kepada cirit-birit.
Air juga akan menghakis salutan pelindung penyakit yang dihasilkan oleh susu ibu dan ini akan mendedahkan bayi kepada pelbagai jangkitan.
Bagi bayi yang mengidap jaundis, air yang terlalu banyak boleh merencatkan akal manakala bagi yang berumur di bawah lima minggu, air yang terlalu banyak akan mencairkan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan yang rendah, kembung atau sawan tarik.
-Sumber Dipetik Dari Bernama-
Oleh Adibah Ismail
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2021 Mommy Miasara. All Rights Reserved. Designed by Blog Cik Nurfarah.