Wednesday 28 March 2012

Susu Merudum??

Ramai yang selalu bertanya pada saya apa suppliment/makanan yang boleh menambah pengeluaran susu ibu.. Dan memang saya akui suppliment sangat membantu meningkatkan penghasilan susu ibu.. 


Tetapi tidak ramai ibu-ibu yang sedar mereka juga perlu mengetahui faktor yang menjadi punca kekurangan susu ibu. Dengan mengetahui punca sesuatu masalah kita dapat mencari penyelesaian bagi masalah tersebut.



~ Faktor yang menyebabkan kurang pengeluaran susu ibu ~ 

(1) Tekanan @ stress
Tekanan ini bukan sahaja boleh berpunca dari pelbagai masalah yang dihadapi dalam hidup sehari-hari malah ramai ibu-ibu yang secara tidak sedar akan berasa tertekan apabila mendapati pengeluaran susu mereka berkurangan.
Diakui adalah amat sukar untuk tidak berasa tertekan, tetapi sebolehnya elakkan terlalu memikirkan masalah kekurangan susu ibu lebih-lebih lagi sewaktu memerah susu atau menyusukan bayi. Dakap bayi dan tenangkan fikiran. Jika tidak bersama bayi lihat gambarnya atau bayangkan saat-saat ketika bersama dengan bayi anda bagi membantu pengeluaran.

(2) Keletihan atau kurang tidur
Tugas menjadi seorang ibu bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa bangun pada waktu malam untuk menyusukan bayi atau menenangkan bayi yang terjaga kerana lampin yang basah. Walau bagaimana pun ini tidak bermakna ibu-ibu boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk kurang tidur.
Keletihan bukan sahaja boleh mengganggu pengeluaran susu malah ia boleh mengganggu fungsi badan yang lain. Termasuk juga sistem pencernaan. Dapatkan bantuan suami untuk membantu menyalin lampin bayi secara bergilir-gilir pada waktu malam. Bagaimana pun anda masih perlu bangun pada waktu malam untuk menyusukan bayi. Tetapi perlu berasa bertuah kerana tidak perlu bangun untuk memanaskan air dan membancuh susu.
Tidur siang dalam jangka masa yang singkat boleh membantu mengurangkan keletihan tetapi pastikan anda tidak tidur berlebihan.

(3) Kurang minum air
Badan kita menggunakan banyak air untuk pelbagai fungsi termasuk untuk menghasilkan susu yang mencukupi. Pengambilan air yang terlalu kurang boleh mengganggu pengeluaran susu.

(4) Kehamilan
Biasanya pengeluaran susu selepas bulan keempat kehamilan akan mengalami sedikit kemerosotan. Walau bagaimana pun pengeluaran akan kembali normal selepas kelahiran bayi.

(5) Pengambilan pil perancang
Walau pun ia jarang berlaku terdapat juga kebarangkalian pengeluaran berkurangan apabila ibu mengambil pil perancang kehamilan.


**Pastikan anda bertanya di tempat yang betul sekiranya mengalami masalah penyusuan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © 2021 Mommy Miasara. All Rights Reserved. Designed by Blog Cik Nurfarah.